
Foto sekadar hiasan
Bahasa Melayu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bahasa utama dunia apabila kira kira 290 juta penduduk global kini mampu bertutur menggunakan bahasa tersebut termasuk Bahasa Indonesia.
Advertisement
Sejak zaman kerajaan Sriwijaya dan era Kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu sudah digunakan secara meluas sebagai bahasa perhubungan utama terutama dalam urusan perdagangan, pentadbiran dan diplomatik selepas kedatangan Islam ke Nusantara.
Walaupun pernah dipandang rendah segelintir pihak yang menganggap bahasa itu tidak mampu berkembang di peringkat antarabangsa, hakikatnya penggunaannya kini semakin meluas hingga ke luar Asia Tenggara.
Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Rozaimah Rashidin berkata Bahasa Melayu kini digunakan di beberapa lokasi luar negara termasuk Kepulauan Cocos, Pulau Christmas di Australia, Afrika Selatan dan Sri Lanka.

Foto: Harian Metro
“Kewujudan diaspora Melayu turut memperkukuh penyebaran bahasa Melayu di peringkat global apabila bahasa ini digunakan oleh diaspora di pelbagai lokasi lain termasuk Arab Saudi, Australia, United Kingdom, Jerman, Belanda dan Los Angeles,” katanya.
Beliau yang juga pensyarah kanan di Universiti Teknologi MARA turut menjelaskan Bahasa Melayu lebih mudah dipelajari kerana mempunyai sistem tatabahasa yang tersusun dan tidak terlalu rumit.
Menurutnya, kemampuan ramai pekerja asing dari Bangladesh, Vietnam dan Nepal bertutur dalam Bahasa Melayu dalam tempoh singkat menjadi bukti bahasa itu mudah dikuasai.
Dalam masa sama, Bahasa Melayu juga masih aktif digunakan di seluruh dunia malah turut ditawarkan sebagai bidang pengajian di beberapa universiti di Beijing dan Guangdong.