
Foto: Harian Metro
Seorang lelaki diberkas pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam insiden keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan isterinya keguguran dalam kejadian yang berlaku di Ambangan Heights, Kedah, minggu lalu.
Advertisement
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, memaklumkan suspek berusia 43 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani bagi tujuan permohonan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Susulan kerana itu, suspek kemudiannya ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan.
Permohonan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Mohammad Azlan Basri, di sini hari ini.
Kes berkenaan sebelum ini tular di media sosial selepas seorang wanita berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penjawat awam dilaporkan cedera parah dipercayai akibat dipukul suaminya, hingga mengakibatkan kandungannya gugur.
Mangsa turut mengalami beberapa kecederaan termasuk patah jari tangan kiri, lebam pada bahagian muka serta kecederaan lain akibat kejadian tersebut.
Dalam masa sama, lelaki berkenaan juga didakwa melarikan barang kemas serta wang simpanan milik isterinya yang dianggarkan hampir RM50,000.
Lebih mengejutkan, suspek dipercayai individu sama yang pernah dicari pihak polis di Johor sebelum ini berkaitan kes mencederakan isteri di bawah peruntukan undang-undang sama pada tahun 2021.
Mangsa dalam kes terdahulu, Jahidah Nordin, dilaporkan masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bergantung kepada bantuan pemakanan melalui tiub sejak insiden tersebut.
Kes ini kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.
Sumber: Bernama