
THR GEGAR terus mencipta sejarah apabila berjaya meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam tempoh hanya sebulan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai jenama radio yang berani mencabar kelaziman menerusi idea penyiaran yang kreatif dan luar biasa.
Pencapaian tersebut menyaksikan THR GEGAR mencatat dua rekod menerusi aksi penyampainya yang membawa pengalaman bersiaran ke lokasi dan situasi yang tidak konvensional.
Advertisement
Pengiktirafan pertama diraih menerusi rekod “Siaran Radio Langsung Pertama Dari Paramotor”, yang dicatatkan oleh penyampai Gegar Petang, Ewan dan Rea, pada 4 September 2026 sempena Jelajah KITA FM di Kelantan.

Cabaran tersebut berlangsung di Pantai Irama, Bachok, apabila kedua-dua penyampai berani mengendalikan siaran secara langsung sambil berada di udara menggunakan paramotor. Aksi berkenaan bukan sahaja menawarkan pengalaman penyiaran yang unik, malah memperlihatkan keberanian pasukan THR GEGAR membawa kandungan radio lebih dekat dengan pengalaman luar biasa.
Tidak berhenti di situ, THR GEGAR sekali lagi mencipta sejarah menerusi pengiktirafan kedua, iaitu “Persembahan DJ Radio Dikir Barat Secara Langsung Bertali Di Altitud Tertinggi”.
Rekod tersebut berjaya dicapai oleh penyampai Bro Pagi Gegar, Issey dan Fizie, di puncak Kuantan 188 pada 24 September 2026.

Dalam cabaran berkenaan, kedua-dua penyampai berjaya menawan puncak mercu tanda tersebut sebelum mempersembahkan Dikir Barat secara langsung dalam keadaan bertali keselamatan di altitud tinggi.
Persembahan itu turut disaksikan pengunjung di lokasi serta mendapat perhatian pendengar yang mengikuti siaran secara langsung menerusi platform media sosial.
Menurut Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin, dua pengiktirafan berkenaan menjadi bukti komitmen berterusan stesen tersebut dalam menghasilkan kandungan yang segar, kreatif dan dekat dengan pendengar.

“Kami amat bersyukur dan berbangga atas pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records. Dua rekod dalam tempoh sebulan bukan sahaja menjadi bukti keberanian dan komitmen pasukan THR GEGAR, malah mencerminkan semangat kami untuk sentiasa mencipta kandungan yang unik, dekat di hati pendengar dan melangkaui batasan penyiaran radio konvensional.
“Pencapaian ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa dedikasi penyampai kami, sokongan padu seluruh warga kerja THR GEGAR serta kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pendengar setia kami. Anugerah ini adalah milik semua yang sentiasa bersama THR GEGAR dalam setiap perjalanan dan pencapaian kami.
“Kami akan terus meneroka idea baharu, mencabar kebiasaan dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti kreatif serta inovatif bagi memastikan THR GEGAR kekal relevan, menghiburkan dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya.
Dua pengiktirafan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan THR GEGAR sebagai jenama radio yang konsisten meneroka pendekatan baharu dalam penyiaran, selain memperlihatkan usaha stesen berkenaan untuk menghasilkan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut melibatkan komuniti pendengar secara langsung.
Sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio, THR GEGAR merupakan stesen radio berbahasa Melayu yang menampilkan pilihan lagu dan kandungan yang dekat dengan masyarakat Pantai Timur.
THR GEGAR juga dikenali sebagai “Permata Pantai Timur”, dengan kehadiran kukuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta lebih 1.2 juta pengikut di media sosial.
Selain menerusi frekuensi radio, pendengar turut boleh mengikuti THR GEGAR melalui platform media sosial rasmi serta aplikasi THR GEGAR untuk mendapatkan pelbagai kandungan dan kemas kini terkini.
Dengan dua pengiktirafan MBOR dalam tempoh sebulan, THR GEGAR membuktikan bahawa penyiaran radio bukan sekadar mengenai apa yang didengar, tetapi turut boleh diterjemahkan kepada pengalaman luar biasa yang mencipta sejarah.