
Bukan jambangan bunga, sebaliknya nasi kerabu menjadi hadiah istimewa yang mencuri perhatian apabila penyampai BRO Pagi Gegar, Issey dan Fizie, tampil meraikan graduan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, hari ini.
Kejutan unik yang dibawakan duo penyampai THR Gegar itu bukan sahaja menceriakan suasana, malah memberikan sentuhan berbeza kepada graduan yang hadir bersama keluarga bagi meraikan kejayaan menamatkan pengajian masing-masing.
Advertisement
Pemilihan nasi kerabu, hidangan ikonik masyarakat Pantai Timur, turut membawa makna tersendiri kerana mencerminkan identiti THR Gegar yang begitu dekat dengan budaya dan kehidupan pendengarnya.
Menurut Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin, inisiatif tersebut merupakan usaha pihaknya untuk berkongsi kegembiraan bersama graduan menerusi pendekatan yang dekat dengan identiti stesen radio berkenaan.
“Pada hari yang cukup bermakna ini, kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Nasi kerabu bukan sahaja makanan yang terkenal dan digemari ramai, malah ia turut melambangkan identiti Pantai Timur yang begitu dekat dengan THR Gegar serta para pendengarnya.
“Kami berharap kejutan kecil ini dapat menambah kemanisan kenangan para graduan pada hari konvokesyen mereka,” katanya.
Kehadiran Issey dan Fizie turut disambut dengan keterujaan apabila mereka mengambil kesempatan untuk beramah mesra, bergambar serta mengucapkan tahniah kepada para graduan yang tidak menyangka menerima kejutan istimewa itu.
Lebih daripada sekadar pemberian makanan, inisiatif tersebut menjadi tanda penghargaan terhadap usaha, pengorbanan dan kesungguhan para graduan sepanjang menempuh perjalanan akademik sebelum berjaya mencapai kejayaan yang diimpikan.
Dalam pada itu, kemeriahan hari berkenaan turut bertambah apabila dua warga THR Gegar, iaitu penerbit BRO Pagi Gegar, Mek Nab, dan Penyelia Muzik THR Gegar, Ain, turut menerima skrol pada istiadat konvokesyen berkenaan.

Kejayaan kedua-dua mereka diraikan bersama oleh Issey, Fizie dan seluruh pasukan BRO Pagi Gegar sebagai simbol komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat serta usaha memperkasa pembangunan diri.
Pencapaian Mek Nab dan Ain turut menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna buat keluarga besar THR Gegar, apabila kejayaan di tempat kerja disusuli dengan pencapaian peribadi yang membanggakan.
Menerusi inisiatif seperti ini, THR Gegar terus memperkukuh hubungan dengan pendengar melalui pendekatan yang dekat dengan kehidupan seharian, selain berkongsi detik penting dalam perjalanan mereka.
Kejutan nasi kerabu itu membuktikan bahawa penghargaan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang mewah atau konvensional. Sebaliknya, pemberian sederhana yang sarat dengan nilai budaya dan keakraban mampu mencipta kenangan manis buat graduan pada hari yang cukup bersejarah dalam kehidupan mereka.
Sebagai sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio, THR Gegar merupakan stesen radio berbahasa Melayu yang menampilkan pilihan lagu dari Pantai Timur dan menjadi stesen radio nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR Gegar terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkemuka yang menjadi kebanggaan Permata Pantai Timur.