Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

47 Kes Rasmi Direkod KPDN Beribu Lagi Mungkin Terlepas, Kamera Tersembunyi Intai Privasi Tanpa Disedari

Gambar Hiasan

Isu keselamatan privasi kini bukan lagi perkara kecil. Data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan sebanyak 47 kes kamera tersembunyi direkodkan sepanjang tahun 2023 melibatkan lokasi seperti inap desa, hotel bajet dan tandas awam. Itu hanyalah kes yang dilaporkan. Realitinya, jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi, melibatkan mangsa yang langsung tidak menyedari mereka telah dirakam.

Advertisement

Perkembangan teknologi menjadikan ancaman ini semakin sukar dikesan. Kamera tersembunyi hari ini boleh bersaiz lebih kecil daripada syiling 10 sen, disorok dalam objek harian seperti jam dinding, pengecas, kepala skru, malah penyangkut baju. Walaupun kecil, kualiti rakamannya mampu mencapai resolusi 4K, dengan keupayaan sambungan WiFi untuk memuat naik rakaman secara terus ke internet.

Kes sebenar yang berlaku di Pulau Pinang menjadi peringatan jelas. Seorang mangsa menyewa rumah inap desa yang kelihatan mewah dan selamat. Namun, kewujudan lampu merah berkelip pada pengesan asap disangka hanya kerosakan biasa. Selepas pulang ke Kuala Lumpur, barulah dia mengetahui video peribadinya ketika menukar pakaian telah tular di sebuah aplikasi, mencecah ribuan perkongsian. Kesan trauma yang dialami bukan sahaja menjejaskan emosi, malah maruah diri untuk jangka panjang.

Situasi ini menunjukkan satu hakikat penting bahawa penjenayah mengeksploitasi kelalaian. Ramai yang masuk ke bilik penginapan tanpa membuat sebarang pemeriksaan, terus berehat atau menggunakan kemudahan yang disediakan. Kawasan seperti katil dan bilik air sering menjadi sasaran utama kerana nilai ‘content’ yang tinggi bagi pelaku jenayah ini.

Cabaran utama adalah kamera ini sukar dilihat dengan mata kasar. Lubang kecil pada skru atau celahan objek biasa boleh menjadi tempat lensa tersembunyi. Namun, secara asasnya, terdapat dua elemen yang hampir mustahil disembunyikan sepenuhnya iaitu lensa dan isyarat. Lensa kamera akan memantulkan cahaya apabila disuluh, manakala peranti aktif biasanya memancarkan isyarat tanpa wayar.

Gambar Hiasan

Seiring dengan ancaman ini, muncul pelbagai alat pengesan kamera tersembunyi yang mampu mengimbas kedua-dua elemen tersebut. Peranti ini direka untuk mengesan pantulan lensa serta mengesan signal WiFi atau frekuensi mencurigakan dalam masa singkat. Penggunaannya mudah, hanya hidupkan dan halakan ke sekitar bilik, termasuk siling, televisyen, soket elektrik dan objek mencurigakan lain.

Langkah pencegahan tidak semestinya rumit, tetapi memerlukan kesedaran dan disiplin. Sebelum menggunakan mana-mana ruang tertutup seperti bilik hotel, homestay, tandas awam atau bilik persalinan, lakukan pemeriksaan ringkas. Jika terdapat sebarang peranti yang kelihatan pelik, lampu berkelip tanpa sebab jelas, atau kedudukan objek yang mencurigakan, jangan abaikan. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan berwaspada.

 

THR GEGAR Permata Pantai Timur