
Sempena sambutan ulang tahun ke-30, Astro memperkenalkan Astro Family Internship Programme, sebuah inisiatif eksklusif yang membuka peluang kepada pelanggan Astro dan ahli keluarga mereka yang layak untuk mendapatkan pengalaman bekerja secara langsung dalam industri media dan hiburan.
Program ini direka bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai dunia pekerjaan sebenar, khususnya dalam industri yang menggabungkan kandungan, teknologi, hiburan dan pelbagai fungsi korporat.
Advertisement
Menerusi Astro Family Internship Programme, para pelatih berpeluang bekerja bersama barisan profesional Astro, sekali gus mendapatkan pengalaman praktikal serta memahami dengan lebih dekat operasi sebuah syarikat media dan hiburan terkemuka negara.
Ketua Pegawai Pemasaran Astro, Christinne Lim, berkata program tersebut merupakan antara usaha Astro untuk menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Astro sepanjang tiga dekad.
“Selama 30 tahun, Astro telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia. Sempena sambutan istimewa ini, kami ingin menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan dengan menyediakan peluang yang bermakna untuk generasi seterusnya.
“Kami berharap program ini dapat memberikan pengalaman dunia pekerjaan yang berharga kepada golongan belia, membantu mereka meneroka minat dan potensi diri, serta membina keyakinan untuk melangkah ke alam kerjaya kelak. Ia merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan kami, di samping membuka peluang kepada generasi akan datang untuk belajar, menimba pengalaman dan meneroka masa depan mereka,” katanya.
Peluang teroka pelbagai bidang
Program latihan industri selama tiga bulan ini akan berlangsung antara Februari hingga Julai 2027, dengan para pelatih berpeluang meneroka pelbagai bidang yang merangkumi aspek kreatif, teknologi dan korporat.
Antara bidang yang ditawarkan termasuk Penerbitan Kandungan, Pemasaran, Komunikasi, Kejuruteraan Perisian, Data & Analitik, selain fungsi korporat seperti Kewangan, Sumber Manusia, Perundangan dan Perolehan.
Pendedahan tersebut membolehkan para pelatih memahami bagaimana pelbagai fungsi dalam sesebuah organisasi saling melengkapi bagi menghasilkan kandungan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan jutaan rakyat Malaysia.
Lebih daripada sekadar pengalaman bekerja, program ini turut memberi ruang kepada golongan muda untuk mengenal pasti bidang yang diminati, memahami potensi laluan kerjaya serta membina kemahiran praktikal yang boleh menjadi asas penting dalam persediaan mereka memasuki alam pekerjaan.
Para pelatih juga berpeluang mendapatkan pemahaman lebih luas mengenai landskap penyiaran dan media, termasuk bagaimana industri berkenaan terus berkembang dalam era digital serta menghubungkan masyarakat menerusi hiburan, sukan, berita dan perkhidmatan digital.
Permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2026
Bagi golongan muda yang berminat mendapatkan pengalaman dalam industri media, teknologi dan korporat, permohonan Astro Family Internship Programme dibuka mulai 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Semua permohonan akan dinilai berdasarkan kelayakan dan kesesuaian calon, manakala penempatan adalah tertakluk kepada kekosongan serta keperluan semasa syarikat.
Untuk maklumat lanjut mengenai kelayakan, Terma dan Syarat serta permohonan, calon boleh mendapatkan maklumat menerusi laman rasmi Astro Family Internship Programme.