
Foto: Tangkap layar video
Suasana di sebuah kafe di Pantai Hospital, Ipoh bertukar cemas apabila seorang wanita dipercayai tercekik makanan hingga mengalami kesukaran untuk bernafas.
Advertisement
Namun, keadaan berjaya dikawal hasil tindakan pantas seorang jururawat yang kebetulan berada di lokasi walaupun sedang off duty ketika kejadian berlaku.
Menerusi perkongsian di Instagram oleh Pantai Hospital Ipoh, jururawat dikenali sebagai Siti Maisyura difahamkan baru sahaja selesai menjalani syif malam sebelum menunggu temu janji susulan anaknya di hospital berkenaan.
Keadaan di kawasan itu bagaimanapun bertukar panik selepas wanita terbabit tiba-tiba tercekik makanan.
Tanpa membuang masa, Maisyura segera tampil membantu mangsa yang ketika itu mengalami kesukaran bernafas.
“Ahli keluarga mangsa yang ketakutan mula meminta bantuan dan setiap saat menjadi sangat kritikal.
“Bersandarkan latihan, keberanian dan naluri untuk menyelamatkan nyawa, beliau dengan tenang melakukan kaedah Heimlich,” menurut pihak hospital.
Beberapa saat kemudian, objek yang menyekat saluran pernafasan mangsa berjaya dikeluarkan sebelum wanita itu kembali bernafas seperti biasa.
“Dalam detik mencemaskan itu, Maisyura bukan sekadar seorang jururawat, beliau adalah penyelamat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pihak hospital turut menyifatkan tindakan luar biasa jururawat berkenaan sebagai gambaran tema Hari Jururawat Antarabangsa 2026 iaitu “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives”.
Ruangan komen turut dibanjiri pujian daripada pengguna media sosial yang kagum dengan tindakan pantas Maisyura selain menitipkan doa buatnya.
Sumber: Instagram