Skip to main content

Advertisement

Berita

THR Gegar Turun Padang Bersama UiTM United II, Bakat Pemain OKU Raih Perhatian

Semangat kesukanan, kebersamaan dan keterangkuman menjadi nadi kepada perlawanan persahabatan antara THR Gegar dan UITM United II yang berlangsung di Padang Turf UiTM Shah Alam apabila dua pemain daripada Malaysia Amputee Football Association (MAFA) mencuri perhatian menerusi aksi penuh inspirasi mereka di atas padang.

Program yang dianjurkan THR Gegar itu bukan sekadar memeriahkan sambutan festival bola sepak dunia, malah membawa mesej bahawa sukan mampu menjadi medium menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun kekurangan fizikal.

Advertisement

Pasukan THR Gegar dibarisi penyampai popular stesen radio itu iaitu Issey, Fizie, Shah, Ewan dan Aswad, selain diperkuatkan oleh selebriti terkenal seperti Eric Floor 88, Akram Floor 88, Syamel, Rahim Hakem dan Andyoso.

Namun, tumpuan utama terarah kepada Muaz dan Najmi daripada MAFA yang beraksi bersama pemain lain dalam perlawanan tersebut. Kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan kemahiran dan kecekapan di atas padang, malah membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk terus bersinar dalam dunia sukan.

Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin berkata, penganjuran perlawanan itu bertujuan membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat sendiri potensi luar biasa yang dimiliki atlet orang kurang upaya (OKU).

"THR Gegar berbangga dapat memberi peluang kepada Muaz dan Najmi untuk beraksi bersama pemain lain. Kami mahu masyarakat melihat sendiri bahawa mereka mempunyai bakat, kemahiran dan semangat juang yang tinggi dalam sukan bola sepak. Perlawanan ini membuktikan bahawa sukan mampu menyatukan semua tanpa mengira latar belakang atau kekurangan fizikal," katanya.

Walaupun perlawanan berlangsung sengit dan UITM United II berjaya menewaskan THR Gegar dengan keputusan 7-6, kemenangan sebenar dilihat terletak pada nilai persahabatan dan semangat kebersamaan yang berjaya diwujudkan sepanjang program berlangsung.

Menurut Azah, objektif utama acara tersebut bukanlah mengejar kemenangan, sebaliknya mengeratkan hubungan antara pendengar THR Gegar, pelajar UiTM, selebriti dan komuniti setempat.

"Menang atau kalah bukan perkara utama. Apa yang lebih penting adalah hubungan yang terjalin antara pendengar, pelajar UiTM dan barisan selebriti yang turut sama memeriahkan program ini. Kami gembira melihat semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua pihak," ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut, khususnya Pengelola Kandungan THR Gegar, Nik Faris Nek Hassan, selain pasukan UITM United II, para pemain, selebriti, pemain MAFA dan penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Melihat sambutan yang amat menggalakkan, THR Gegar berhasrat untuk meneruskan lebih banyak aktiviti dan perlawanan persahabatan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuhkan hubungan antara komuniti, institusi pendidikan dan industri hiburan.

Menurut Azah, inisiatif seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui sukan, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk menghargai kepelbagaian bakat yang dimiliki setiap individu tanpa mengira kemampuan fizikal.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian Astro Audio, THR Gegar terus memainkan peranan aktif bukan sahaja dalam dunia penyiaran, malah turut mendekati masyarakat menerusi pelbagai program komuniti yang memberi impak positif. Dengan kedudukannya sebagai stesen radio Melayu nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR Gegar terus mengukuhkan jenamanya sebagai Permata Pantai Timur sambil menyebarkan mesej perpaduan, inspirasi dan semangat kebersamaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

THR GEGAR Permata Pantai Timur