THR GEGAR membuka peluang kepada anak muda berusia antara 19 hingga 32 tahun yang berminat dalam bidang penyiaran untuk mengetengahkan bakat menerusi inisiatif #SuaraTHRGegar, sekali gus memberi peluang kepada mereka mencuba nasib sebagai penyampai radio baharu.
Inisiatif itu merupakan usaha THR GEGAR untuk mengenal pasti bakat berpotensi yang mempunyai suara, personaliti dan kebolehan berkomunikasi bagi menarik perhatian pendengar.
Advertisement
Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin, berkata pihaknya percaya ramai anak muda memiliki bakat tersendiri, namun belum berpeluang untuk menyerlahkan kebolehan mereka dalam industri penyiaran.
“Melalui #SuaraTHRGegar, kami mahu membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk mencuba dan menunjukkan bakat masing-masing,” katanya.
Menurut Azah, penyertaan terbuka kepada semua individu yang memenuhi syarat ditetapkan, namun keutamaan diberikan kepada mereka yang berasal dari Pantai Timur serta mempunyai penguasaan dialek atau loghat negeri berkenaan.
Katanya, keunikan dialek Pantai Timur merupakan antara identiti yang menjadikan THR GEGAR dekat di hati pendengar, sekali gus mencerminkan hubungan erat stesen radio itu dengan masyarakat setempat.
“Loghat dan dialek Pantai Timur merupakan antara keunikan yang menjadikan THR GEGAR begitu dekat dengan pendengar. Jadi, kami amat mengalu-alukan bakat yang mampu menampilkan identiti dan keaslian Pantai Timur dengan cara mereka sendiri,” ujarnya.
Peserta hanya perlu hasilkan video uji bakat satu minit
Bagi menyertai inisiatif #SuaraTHRGegar, peserta hanya perlu menghasilkan video uji bakat berdurasi satu minit dan memuat naiknya ke akaun media sosial masing-masing menggunakan tanda pagar #SuaraTHRGegar.
Peserta juga perlu memastikan akaun media sosial yang digunakan ditetapkan kepada mod public bagi membolehkan penyertaan mereka ditonton.
Menerusi video berkenaan, peserta boleh mengetengahkan kebolehan dalam bidang penyampaian, pengacaraan, penggunaan suara, personaliti serta kemahiran berkomunikasi.
Menariknya, pengalaman dalam bidang penyiaran bukan syarat utama untuk mencuba peluang tersebut.
Azah berkata, pihaknya lebih mengutamakan keyakinan diri, keaslian, kreativiti dan kebolehan peserta membawa personaliti mereka ketika berkomunikasi.
“Tak semestinya perlu mempunyai pengalaman dalam radio. Apa yang kami mahu lihat ialah keyakinan, keaslian, kreativiti dan bagaimana peserta mampu membawa diri serta berkomunikasi dengan pendengar.
“Mungkin daripada video satu minit itu, kami dapat menemui suara baharu THR GEGAR,” katanya.
Justeru, anak muda yang mempunyai minat dalam dunia penyiaran dan yakin dengan kebolehan diri masing-masing dialu-alukan untuk menyahut cabaran berkenaan.
Jangan hanya jadi pendengar, mungkin anda suara baharu THR GEGAR!
Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi THR GEGAR dan menggunakan tanda pagar #SuaraTHRGegar.
Sebagai sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio, THR GEGAR merupakan stesen radio berbahasa Melayu yang menampilkan lagu-lagu pilihan serta kandungan yang dekat dengan masyarakat Pantai Timur.
Dikenali sebagai jenama muzik Permata Pantai Timur, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen radio nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial.
Selain menerusi frekuensi radio, pendengar juga boleh mengikuti THR GEGAR melalui platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi THR GEGAR menerusi App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.