Skip to main content

Advertisement

General

Empat Daerah di Kelantan Catat Cuaca Panas Tahap Satu, Orang Ramai Dinasihat Segera Dapatkan Rawatan

Foto sekadar hiasan

Orang ramai diingatkan supaya tidak mengabaikan sebarang gejala seperti sakit kepala, pening, mual atau kekejangan ketika berdepan cuaca panas, sebaliknya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Advertisement

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, berkata kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk.

"Setakat ini empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang merekodkan status cuaca panas Tahap Satu (berjaga-jaga) dengan suhu 35 hingga 37 darjah Celcius selama tiga hari.

"Sejak awal Mac hingga kini Kelantan masih mengalami cuaca panas Tahap Satu dan pendedahan kepada keadaan itu dalam tempoh yang lama dan kurang air boleh memudaratkan kesihatan terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, ibu hamil, warga emas serta pesakit kronik."

Beliau turut menegaskan bahawa gejala yang kelihatan ringan tidak seharusnya dipandang remeh.

"Sesiapa yang mempunyai gejala yang berkaitan, segerlah mendapatkan rawatan kerana mungkin mereka rasa itu adalah biasa tapi sebenarnya boleh menyebabkan dehidrasi," katanya kepada media di sini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam merancang aktiviti luar atau percutian sepanjang musim panas.

Katanya, orang ramai perlu mengelakkan aktiviti luar ketika waktu kemuncak panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang selain memastikan pengambilan air yang mencukupi.

"Perlu kerap mandi untuk menyejukkan badan dan memakai pakaian yang nipis, longgar serta berwarna cerah bagi membantu proses kehilangan haba dengan cepat dari badan.

"Hadkan aktiviti fizikal lasak kerana boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas dan jangan terdedah di luar rumah atau bangunan dalam tempoh yang lama.

"Saya juga meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar menghadkan aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekolah kerana kanak-kanak adalah golongan berisiko," katanya.

Mengulas langkah awal yang boleh diambil, beliau berkata persekitaran di rumah atau tempat kerja perlu mempunyai pengudaraan yang baik.

Selain itu, jika terdapat individu yang mengalami kesan akibat cuaca panas, tindakan segera perlu diambil untuk menurunkan suhu badan seperti menyiram air ke tubuh dan meletakkan pek ais di bahagian tertentu.

"Jika mangsa pitam atau pengsan seterusnya tiada pernafasan atau nadi, mangsa perlu segera dibawa ke fasiliti kesihatan terdekat untuk bantuan pertolongan cemas," katanya.

Sumber: Berita Harian

THR GEGAR Permata Pantai Timur