Skip to main content

Advertisement

Berita

Jambatan Gantung Runtuh Ketika Majlis Perasmian, Pegawai Kerajaan Turut Berada di Atasnya!

Kegembiraan sempena majlis perasmian sebuah jambatan gantung di Jawa Barat bertukar detik cemas apabila struktur tersebut runtuh tidak lama selepas ia dibuka secara rasmi pada 30 Ogos lalu.

Kejadian membabitkan Jambatan Gantung Pongpet itu berlaku ketika kira-kira 50 individu berada di atas jambatan berkenaan, termasuk bupati atau ketua pemerintah daerah serta beberapa pegawai kerajaan dan anggota tentera.

Advertisement

Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan Tentera Nasional Indonesia (TNI), kejadian dipercayai berlaku selepas kabel penggantung di bahagian kiri jambatan tertanggal daripada sistem pengikat utamanya.

Insiden itu dikatakan berlaku apabila jumlah beban yang dikenakan ke atas jambatan berkenaan dipercayai telah melebihi kapasiti yang ditetapkan.

Rakaman kejadian yang tular turut memperlihatkan suasana panik apabila jambatan tersebut gagal menampung beban sebelum strukturnya runtuh, menyebabkan individu yang berada di atasnya berdepan detik mencemaskan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Jambatan Gantung Pongpet kini telah ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan selain pemeriksaan dan penilaian teknikal menyeluruh dijalankan.

Insiden berkenaan sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai aspek keselamatan dan pematuhan kapasiti struktur awam, khususnya ketika sesuatu kemudahan baharu dibuka dan menjadi tumpuan ramai.

Pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan struktur itu serta memastikan jambatan berkenaan benar-benar selamat sebelum dibuka semula kepada orang ramai.

Video: Tiktok (shou7222)

THR GEGAR Permata Pantai Timur