GAMBAR: JBPM
Empat individu termasuk tiga yang dipercayai daripada sebuah keluarga maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, semalam.
Advertisement
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kemalangan berkenaan membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah pikap, sebuah lori tangki serta sebuah bas ekspres.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, nahas tersebut mengorbankan pemandu dan dua penumpang sebuah SUV.
Selain itu, seorang lagi lelaki yang menaiki sebuah SUV lain turut disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, kesemua mangsa yang maut dipercayai tersepit di dalam kenderaan masing-masing selepas kemalangan berlaku.
“Bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan,” katanya.
Dalam kejadian sama, dua mangsa termasuk pemandu lori tangki dan seorang lelaki yang menaiki SUV dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa turut cedera dan kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, kesemua 30 penumpang bas ekspres yang turut terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan terselamat.
Difahamkan, ketika kejadian semua kenderaan sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
Mayat empat mangsa yang maut turut dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah untuk proses bedah siasat, manakala identiti kesemua mangsa masih belum diperoleh setakat ini.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang melibatkan jumlah kenderaan yang besar itu.
Nahas berkenaan sekali lagi menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, terutama ketika memandu pada waktu malam dan di lebuh raya yang mempunyai aliran trafik tinggi.
Sumber: BERNAMA