Skip to main content

Advertisement

Berita

Pahang Perkenal Sistem Kerja Fleksibel, Penjawat Awam Dibenar WFH Dua Hari Seminggu

Foto sekadar hiasan

Kerajaan negeri Pahang akan melaksanakan kaedah kerja dari rumah kepada kakitangan awamnya selama dua hari setiap minggu secara giliran, bermula minggu depan.

Advertisement

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan serta kesukaran yang dihadapi rakyat berhubung peningkatan kos sara hidup ketika ini, termasuk impak daripada ketegangan di Asia Barat.

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian seperti kos perjalanan, minyak, tol, makanan serta keperluan keluarga.

“Pelaksanaan akan disusun secara teratur mengikut jadual yang ditetapkan tanpa menjejaskan kelancaran operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah, setiap ketua jabatan dan agensi akan menguruskan pelaksanaan dasar tersebut berdasarkan keperluan tugas serta fungsi organisasi masing-masing.

Perkara itu dimaklumkan dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di KotaSAS, hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.

Dalam pada itu, penjawat awam diingatkan supaya terus mengekalkan tahap disiplin, integriti serta prestasi kerja yang tinggi sepanjang pelaksanaan dasar berkenaan.

Katanya lagi, sebarang perubahan atau maklumat terkini berkaitan dasar ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Pelaksanaan ini bergantung kepada situasi semasa dan boleh dikaji semula apabila keadaan kembali stabil. Kita pernah melaksanakan pendekatan sama ketika pandemik COVID-19 dan penambahbaikan mungkin akan dilakukan,” ujarnya.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan, badan berkanun serta majikan lain di Pahang untuk menilai pendekatan kerja lebih anjal, termasuk bekerja dari rumah jika sesuai dengan operasi masing-masing.

Menurutnya, usaha ini diharap dapat memberi kelegaan kepada golongan pekerja selain mewujudkan persekitaran kerja yang lebih seimbang, produktif dan responsif terhadap cabaran semasa.

Sumber: Berita Harian

THR GEGAR Permata Pantai Timur