Skip to main content

Advertisement

General

Harga Tumbler Cecah Ratusan Ringgit Pun Tak Berguna Jika Bahagian Ini Tak Dicuci Dengan Betul!

Gambar Hiasan

Ramai yang kini membawa tumbler ke mana sahaja sebagai langkah mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memastikan pengambilan air kosong sentiasa mencukupi. Namun, di sebalik manfaat tersebut, masih ramai yang terlepas pandang satu perkara penting iaitu cara membersihkan tumbler dengan betul.

Ramai Guna Tumbler Setiap Hari, Tetapi Tahukah Anda Bahagian Ini Boleh Jadi ‘Sarang’ Kulat?

Advertisement

Tahukah anda bahawa tumbler yang kelihatan bersih di bahagian luar sebenarnya boleh menyimpan kulat dan bakteria di bahagian yang jarang diperiksa?

Perkara ini turut dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM), yang mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan kebersihan tumbler, terutama pada bahagian getah silikon atau rubber gasket yang terdapat pada penutup botol.

Gambar: Public Health Malaysia

Menurut PHM, bahagian getah silikon ini sering memerangkap sisa air, kelembapan, air liur serta kotoran halus. Jika tidak ditanggalkan dan dibersihkan setiap hari, ia boleh menjadi tempat pembiakan kulat, yis dan bakteria yang akhirnya menyebabkan air yang diminum berbau hapak atau mempunyai rasa pelik tanpa disedari.

Lebih membimbangkan, keadaan ini bukan sahaja berlaku pada tumbler orang dewasa, malah botol air kanak-kanak juga berisiko mengalami masalah yang sama kerana sering digunakan sepanjang hari.

Kenapa Getah Silikon Mudah Berkulat?

Reka bentuk penutup tumbler yang kedap udara menyebabkan kelembapan terperangkap di celah-celah getah silikon. Apabila tumbler ditutup sebelum benar-benar kering, persekitaran lembap tersebut menjadi tempat yang sesuai untuk pertumbuhan mikroorganisma.

Kulat biasanya muncul dalam bentuk tompokan hitam, hijau atau kelabu pada bahagian getah, manakala bakteria pula tidak semestinya dapat dilihat dengan mata kasar.

Gambar: Public Health Malaysia

Cara Membersihkan Tumbler Dengan Betul

Bagi memastikan tumbler kekal bersih dan selamat digunakan, amalkan langkah berikut:

  • Cuci tumbler setiap hari menggunakan air suam dan sabun pencuci pinggan.
  • Tanggalkan getah silikon pada penutup sebelum mencuci.
  • Gunakan berus kecil atau putik kapas untuk membersihkan celah-celah sempit.
  • Bilas sehingga tiada sisa sabun tertinggal.
  • Keringkan semua bahagian sepenuhnya sebelum dipasang semula.
  • Elakkan menyimpan air dalam tumbler selama beberapa hari tanpa mencucinya.

Bila Perlu Tukar Getah Silikon?

Ramai tidak sedar bahawa getah silikon juga mempunyai jangka hayat. Jika ia sudah berubah warna, berbau, merekah, longgar atau masih berkulat walaupun selepas dicuci, sebaiknya gantikan dengan yang baharu jika boleh, atau pertimbangkan untuk menukar tumbler tersebut.

Jangan Simpan Minuman Manis Terlalu Lama

Gambar Hiasan

Selain air kosong, ramai menggunakan tumbler untuk kopi, teh susu, jus atau minuman bergula. Sisa gula dan protein daripada minuman ini boleh mempercepatkan pertumbuhan bakteria jika dibiarkan terlalu lama, terutama apabila tumbler berada dalam suhu bilik atau di dalam kereta yang panas.

Jika menggunakan tumbler untuk minuman selain air kosong, sebaiknya cuci sejurus selepas digunakan dan jangan biarkan semalaman.

Kesihatan Bermula Dengan Kebersihan

Membawa tumbler memang satu tabiat yang baik untuk kesihatan dan alam sekitar. Namun, manfaat itu hanya dapat dinikmati jika kebersihan tumbler turut dijaga dengan betul.

Jadi, selepas ini jangan sekadar membilas botol dengan air. Luangkan beberapa minit untuk membuka dan membersihkan bahagian getah silikon kerana mungkin di situlah tersembunyi 'perisa' yang tidak sepatutnya diminum.

Rujukan: Public Health Malaysia

THR GEGAR Permata Pantai Timur