Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

Herpes Tak Akan Hilang Selamanya, Dan Ia Bermula Dengan Perkara ‘Kecil’ Ini!

Gambar Hiasan

Amalan berkongsi makanan, penyedut minuman ataupun mencuba gincu contoh di kedai kosmetik mungkin nampak remeh dan biasa dalam kehidupan seharian. Namun, di sebalik tabiat yang dianggap biasa ini, tersembunyi risiko kesihatan yang sering dipandang ringan termasuk jangkitan Herpes Simplex Virus Type 1 (HSV-1).

Advertisement

HSV-1 ialah virus yang lazimnya menyebabkan herpes oral atau lebih dikenali sebagai cold sores di sekitar bibir dan mulut. Apa yang ramai tidak tahu, virus ini boleh tersebar dengan mudah melalui sentuhan langsung atau perkongsian objek yang bersentuhan dengan mulut, seperti penyedut minuman, sudu, botol minuman dan juga produk kosmetik.

Sebaik sahaja seseorang dijangkiti HSV-1, virus ini akan kekal dalam badan sepanjang hayat. Ia mungkin berada dalam keadaan tidak aktif (dormant) tanpa sebarang simptom, tetapi boleh kembali aktif pada bila-bila masa terutamanya apabila sistem imun lemah, stres meningkat atau tubuh keletihan.

Apabila virus ini aktif, individu mungkin mengalami:

  • Lepuhan kecil atau luka di bibir/mulut

  • Rasa pedih atau gatal sebelum luka muncul

  • Ketidakselesaan ketika makan atau bercakap

Salah satu cabaran utama HSV-1 ialah ramai pembawa tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi masih boleh menyebarkan virus kepada orang lain. Ini bermakna, seseorang boleh dijangkiti walaupun individu yang berkongsi makanan atau barangan dengannya kelihatan sihat.

Jangkitan ini tidak mengenal jantina kerana lelaki dan wanita mempunyai risiko yang sama. Apa yang membezakan hanyalah tahap kesedaran dan langkah pencegahan yang diambil.

Walaupun HSV-1 adalah biasa, pencegahan tetap penting bagi mengelakkan jangkitan awal atau penularan kepada orang lain. Antara langkah yang boleh diamalkan:

Gambar Hiasan

  • Elakkan berkongsi penyedut minuman, sudu atau botol minuman

  • Jangan guna lipstik tester terus pada bibir, sebaiknya gunakan applicator sekali guna jika ada

  • Elakkan sentuhan rapat (seperti ciuman) ketika ada luka atau lepuhan

  • Jaga kebersihan diri dan kuatkan sistem imun

Hakikatnya, HSV-1 adalah jangkitan yang biasa tetapi tidak boleh dipandang ringan. Walaupun ia bukan penyakit yang membawa maut, pengurusan simptom apabila virus kembali aktif boleh menjadi mencabar dan memberi ketidakselesaan kepada individu yang mengalaminya.

Mengubah sedikit tabiat harian seperti tidak berkongsi barangan yang bersentuhan dengan mulut boleh memberi kesan besar dalam melindungi diri dan orang sekeliling.

 

THR GEGAR Permata Pantai Timur