
Foto: Bernama
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand dilaporkan semakin berkurangan sejak kebelakangan ini sehingga menjadikan jarak antara kedua-dua tebing hanya sekitar 20 meter.
Advertisement
Situasi tersebut dipercayai berpunca daripada cuaca panas berpanjangan yang melanda kawasan berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
Walaupun keadaan sungai yang cetek membuatkan Thailand kelihatan lebih hampir dari kebiasaan, penduduk tempatan tetap mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dengan tidak menyeberangi sungai tersebut.
Seorang wakil penduduk Rantau Panjang, Fadli Mat Yusof, 55, memaklumkan bahawa paras air Sungai Golok mula menunjukkan penurunan ketara sejak bulan lalu apabila kawasan itu mengalami suhu panas melampau yang mencecah sehingga 38 darjah Celsius.
Menurutnya, cuaca panas yang berterusan serta kekurangan hujan menyebabkan beberapa bahagian sungai menjadi sangat cetek dan hampir kering.
“Bulan lepas memang panas terik, hujan hampir tiada dan air sungai kelihatan kering. Dalam satu dua hari kebelakangan ini ada juga hujan, tetapi hanya sekejap-sekejap,” katanya kepada media.
Beliau berkata hujan yang turun sejak beberapa hari lalu sedikit sebanyak membantu menaikkan paras air sungai, namun keadaannya masih belum kembali seperti biasa.
Fadli turut menjelaskan bahawa sebelum ini paras air Sungai Golok kebiasaannya hampir mencapai tebing sungai, tetapi kini ia jelas kelihatan surut disebabkan cuaca panas yang berlarutan.
Katanya lagi, kawasan tebing sungai yang suatu ketika dahulu sering menjadi laluan pergerakan penduduk kini semakin sunyi selepas pihak berkuasa memasang pagar di beberapa lokasi sempadan bagi menghalang aktiviti menyeberangi sungai secara tidak sah.

Foto: Berita Harian
“Dulu kawasan ini agak sibuk, tetapi sekarang sudah sunyi selepas sempadan dipagar. Pos lain sudah dipasang pagar dan Pos Ibrahim Pencen juga akan dipagar nanti,” katanya.
Menurut beliau, langkah memasang pagar di sepanjang kawasan sempadan itu menyebabkan pergerakan menyeberangi sungai tidak lagi berlaku seperti sebelum ini.
Dalam masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meningkatkan pemantauan dengan menjalankan rondaan berkala menggunakan motosikal selain bantuan dron bagi memastikan tiada pihak cuba merentas sungai secara haram.
Sementara itu, seorang penternak haiwan yang tinggal berhampiran sungai, Amran Awang, 46, berkata perubahan paras air Sungai Golok merupakan fenomena biasa yang sering berlaku di kawasan tersebut.
Menurutnya, paras air sungai lazimnya akan meningkat sedikit apabila hujan turun, namun akan kembali berkurangan sekiranya cuaca panas berterusan.
“Masyarakat setempat mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak lagi menggunakan sungai sebagai laluan untuk menyeberang ke seberang seperti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu,” katanya.

Foto: Utusan Malaysia
Tinjauan media di kawasan Pos Ibrahim Pencen mendapati kawasan tebing Sungai Golok yang sebelum ini pernah menjadi laluan tidak rasmi kini kelihatan lengang tanpa sebarang aktiviti merentas sungai.
Pihak berkuasa juga telah memasang pagar di kawasan berkenaan bagi menghalang orang ramai menghampiri tebing sungai yang sebelum ini sering digunakan sebagai laluan pergerakan penduduk.
Paras air yang semakin rendah turut mendedahkan beberapa bahagian dasar sungai yang kebiasaannya tenggelam di dalam air, sekali gus menjadikan jarak antara tebing Malaysia dan Thailand kelihatan lebih dekat daripada biasa.
Bagaimanapun, kawalan keselamatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa memastikan kawasan tersebut kekal terkawal dan bebas daripada sebarang kegiatan menyeberangi sempadan secara haram.
Pada Isnin lalu, Bernama melaporkan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Angkatan Tentera Malaysia telah memperketatkan kawalan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas selepas paras air sungai itu semakin cetek akibat musim kemarau.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata langkah tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang aktiviti penyeludupan termasuk dadah dan senjata api yang mungkin mengambil kesempatan daripada keadaan sungai yang cetek ketika ini.
Sumber: Bernama