Skip to main content

Advertisement

Technology & Innovation

Kucing Sebenarnya Lebih Suka Berada di Rumah Sendiri, Pet Sitter Jadi Jalan Penyelesaian Terbaik!

Gambar Hiasan

Isu kucing mati selepas dihantar ke pusat jagaan (boarding) kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan pencinta haiwan. Walaupun tidak semua kes berakhir tragis, perkongsian pengalaman pemilik haiwan ini membuka mata ramai tentang satu hakikat penting iaitu kucing sebenarnya lebih selesa berada di persekitaran sendiri.

Advertisement

Gambar Hiasan

Berbeza dengan anjing yang lebih mudah menyesuaikan diri, kucing merupakan haiwan yang sangat terikat dengan kawasan dan ‘bau’ mereka. Perubahan kecil seperti mengalihkan tempat makan di dalam rumah pun boleh menyebabkan tekanan, apatah lagi apabila mereka ditempatkan di lokasi asing tanpa sebarang bau yang dikenali. Keadaan ini boleh mencetuskan stres yang serius, sekali gus menjejaskan kesihatan mereka.

Selain faktor persekitaran baharu, risiko pendedahan kepada kucing lain juga tidak boleh dipandang ringan. Di pusat boarding, kucing mungkin terdedah kepada penyakit berjangkit, parasit atau virus yang dibawa oleh haiwan lain. Ditambah pula dengan tekanan akibat perubahan rutin dan suasana, sistem imun kucing boleh menjadi lemah, menjadikan mereka lebih mudah jatuh sakit.

Pakar haiwan turut menegaskan bahawa stres dalam kalangan kucing bukan sekadar perubahan tingkah laku, tetapi boleh memberi kesan fizikal seperti hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan dalam kes ekstrem, boleh membawa kepada komplikasi serius.

Gambar Hiasan

Sehubungan itu, ramai pemilik kini mula mempertimbangkan alternatif yang lebih selamat. Antaranya ialah membiarkan kucing kekal di rumah dengan menyediakan bekalan makanan dan pasir yang mencukupi sepanjang ketiadaan atau mendapatkan khidmat pet sitter untuk memantau keadaan mereka. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan tekanan, malah memastikan kucing kekal dalam zon selesa mereka.

Walaupun menghantar kucing ke boarding mungkin kelihatan seperti pilihan mudah, pemilik perlu menilai kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan haiwan kesayangan. Dalam banyak keadaan, rumah sendiri tetap menjadi tempat paling selamat dan menenangkan buat si bulus.

THR GEGAR Permata Pantai Timur