Kerja penggalian untuk sebuah hotel baharu di Dublin, Ireland mengejutkan ramai pihak apabila mereka menemui tapak perkuburan berusia lebih 1,000 tahun.

Memetik laporan Mirror UK, lebih 100 rangka manusia daripada zaman pertengahan ditemukan di kawasan sekitar Capel Street, lokasi di mana sebuah tempat gereja kecil pernah didirikan.
Malah, pihaknya mendakwa mayat tersebut dipercayai disemadikan pada awal abad ke-11.
Lebih mengejutkan, ahli arkeologi menemui kesan tapak Rumah Mesyuarat Presbyterian sejak 1667.
Lokasi yang digali itu akan menjadi pusat kepada pembangunan konsep bar dan restoran baharu.
Pihaknya menjelaskan sebahagian daripada sebuah rumah yang dikenali sebagai 'Dutch Billies' yang dibina sekitar 1700 oleh pendatang yang berhijrah ke Dublin, selepas Raja William of Orange naik takhta sebagai pemerintah Inggeris juga ditemukan.
Rangka yang ditemukan akan dibersihkan dan dihantar untuk analisis lanjut, kerana ia akan diberikan kepada Perkhidmatan Monumen Negara.
Menurut Pengarah penggalian untuk Perunding Warisan Courtney Derry (CDHC) Edmond O'Donovan, beliau menerangkan kepentingan penemuan itu untuk sejarah Ireland.
"Pada zamannya, St Mary's Abbey adalah biara abad pertengahan yang terbesar dan paling kaya di Ireland.
"Ia sudah dirobohkan selepas 1540 apabila biara itu dibubarkan oleh Henry VIII, dan kemudian menjadi tapak Rumah Mesyuarat Presbyterian abad ke-17.
"Salah satu perkara yang menarik mengenal penggalian itu adalah kami menemui beberapa tapak perkuburan awal," jelasnya.
Sumber: Harian Metro