
Foto: Facebook
Dalam dunia pekerjaan, waktu bekerja bukan sekadar jadual biasa, sebaliknya ia adalah amanah yang perlu dipatuhi. Walaupun begitu, masih ada pekerja yang mengambil kesempatan dengan melakukan urusan peribadi, keluar tanpa sebab munasabah atau sekadar melengah-lengahkan tugas.
Advertisement
Perkara ini mungkin nampak kecil, tetapi dari sudut agama, ia bukan isu remeh. Menurut penceramah bebas Azhar Idrus, penilaian terhadap perbuatan ini bergantung kepada bentuk bayaran yang diterima seseorang pekerja.
Jika seseorang dibayar berdasarkan hasil kerja atau projek, maka cara pengurusan masa lebih fleksibel selagi tugasan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Kalau dia dibayar ikut kerja, bukan masa, maka selagi siap dalam tempoh, itu tidak jadi masalah,” jelasnya.
Namun berbeza bagi pekerja yang menerima gaji berdasarkan tempoh masa bekerja seperti kakitangan pejabat.
“Kalau gaji itu dibayar dengan masa, maka masa itu wajib dijaga,” katanya lagi.
Tak Boleh Sesuka Hati Buat Hal Lain
Bagi pekerja yang terikat dengan waktu kerja, mereka tidak boleh melakukan perkara lain sesuka hati tanpa keizinan majikan, walaupun ia sekadar urusan peribadi.
Menurut beliau, waktu tersebut adalah tanggungjawab yang perlu digunakan sepenuhnya untuk kerja.
“Bila dibayar dengan masa, bukan boleh buat perkara lain sesuka hati. Bahkan perkara tambahan seperti solat sunat pun perlu izin, kecuali yang wajib,” ujarnya.
Keberkatan Rezeki Bergantung pada Masa Kerja
Azhar Idrus turut menjelaskan bahawa keberkatan gaji sebenarnya terletak pada bagaimana seseorang memanfaatkan waktu bekerja.
Jika masa itu digunakan untuk perkara lain, ia boleh menjejaskan keberkatan rezeki yang diperoleh.
Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau mencadangkan agar individu yang rasa bersalah atau ragu dengan penggunaan masa kerja boleh mengeluarkan sedikit sedekah.
“Kalau rasa ada tersalah guna masa kerja, ambil sedikit gaji untuk disedekahkan, mudah-mudahan jadi penebus,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa tidak semua kesalahan boleh diselesaikan dengan sedekah, terutamanya jika melibatkan pengambilan barang milik pejabat.
Dalam situasi tersebut, pekerja perlu memulangkan semula barangan atau menggantikannya, selain memohon keampunan.
“Kalau ambil barang pejabat, tak boleh selesai dengan sedekah. Kena pulangkan atau bayar semula,” jelasnya.
Kesimpulannya, isu ‘mengular’ ketika waktu kerja bukan sahaja melibatkan etika, malah berkait rapat dengan tanggungjawab serta keberkatan rezeki yang diperoleh.
Sumber: YouTube Ustaz Azhar Idrus