Skip to main content

Advertisement

Budaya & Masyarakat

Dari Pengkalan Chepa Terus Ke Korea, Orang Kelantan Lepas Ni Boleh ‘Date’ Oppa Tanpa Transit

Foto sekadar hiasan

Penduduk Kelantan dijangka bakal menikmati kemudahan penerbangan lebih meluas apabila Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa berupaya menawarkan laluan terus ke Korea dan China selepas projek pemanjangan landasan siap sepenuhnya menjelang hujung tahun depan.

Advertisement

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja menaik taraf landasan sehingga mencapai panjang 1,800 meter kini sedang dilaksanakan.

Menurutnya, penambahan itu penting bagi membolehkan lapangan terbang tersebut mengendalikan penerbangan jarak jauh melebihi enam jam, termasuk ke destinasi seperti China dan Korea.

Katanya, setakat ini landasan sedia ada sudah mencukupi untuk menampung penerbangan antarabangsa jarak sederhana seperti ke Singapura, Bangkok dan Jakarta.

“Bagi penerbangan antarabangsa melebihi enam jam, pesawat memerlukan penggunaan minyak lebih banyak dan memerlukan landasan lebih panjang untuk berlepas serta membawa muatan lebih besar,” katanya.

Beliau menjelaskan, pemanjangan landasan itu dijangka merancakkan lagi kemasukan laluan baharu sekali gus mengukuhkan peranan lapangan terbang berkenaan sebagai hab penerbangan di Pantai Timur.

Foto: Malay Mail

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Perasmian Terminal Baharu lapangan terbang tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Anthony memaklumkan projek naik taraf bernilai RM440 juta itu kini telah siap sepenuhnya, sekali gus menandakan lapangan terbang tersebut bersedia menggalas peranan lebih besar dalam sektor penerbangan negara.

Walaupun sebelum ini beroperasi sebagai lapangan terbang domestik, kemudahan imigresen dan kastam yang disediakan kini membolehkan ia mengendalikan penerbangan antarabangsa secara terus.

“Kita memang merancang membuka laluan baharu selain Singapura, Jakarta dan Bangkok dalam masa terdekat kerana Kota Bharu mempunyai potensi besar sebagai pintu masuk ke Pantai Timur,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan turut giat menarik penyertaan lebih banyak syarikat penerbangan untuk menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai hab serantau, termasuk syarikat tempatan seperti Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia.

Dalam masa sama, lokasi strategik Kota Bharu dilihat memberi kelebihan untuk menarik penumpang dari negara jiran khususnya Thailand, sekali gus berpotensi menjadikannya sebagai hab transit ke Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta dan destinasi lain.

Sumber: Sinar Harian

THR GEGAR Permata Pantai Timur