Skip to main content

Advertisement

Berita

Pengurus Jenama THR Gegar Rakam Ucapan Tahniah Buat Issey, Julang Nama Radio Swasta Di Kelantan

Kejayaan penyampai Bro Pagi Gegar, Issey, dinobatkan sebagai Penyampai Radio Terbaik Kategori Swasta sempena Sambutan Hari Wartawan Peringkat Negeri Kelantan baru-baru ini menerima perhatian dan penghargaan daripada pihak pengurusan THR Gegar.

Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang disifatkan sebagai hasil dedikasi, kreativiti serta komitmen tinggi Issey dalam memberikan kandungan terbaik kepada pendengar setiap hari.

Advertisement

Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan sekadar kemenangan peribadi, malah menjadi simbol kepada kekuatan jenama THR Gegar sebagai antara stesen radio pilihan utama pendengar.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian Issey yang berjaya meraih pengiktirafan ini. Ia adalah hasil usaha keras, kreativiti serta komitmen beliau dalam memberikan yang terbaik kepada pendengar setiap hari,” katanya.

Azah turut menjelaskan bahawa kejayaan tersebut diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada seluruh barisan penyampai dan warga kerja THR Gegar untuk terus memperkukuh prestasi serta kekal relevan dalam landskap penyiaran yang semakin kompetitif.

“Pencapaian ini bukan hanya milik individu, tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh pasukan untuk terus bekerja lebih gigih demi memenuhi jangkaan dan kepercayaan pendengar setia kami,” tambah beliau.

Sebagai rekod, Issey membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta plak penghargaan hasil kemenangan tersebut.

Anugerah berkenaan menerima 91 pencalonan sepanjang tempoh penyertaan yang berlangsung dari 10 hingga 14 Mei lalu, melibatkan sembilan kategori utama merangkumi bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio.

Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik, Visual TV Terbaik, Gambar Berita Terbaik, Penyampai Radio Kerajaan Terbaik serta Penyampai Radio Swasta Terbaik yang dinilai berdasarkan hasil siaran sepanjang tahun 2025.

THR Gegar terus komited menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang dekat dengan jiwa pendengar, selari dengan aspirasi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju radio nombor satu di Pantai Timur.

Sebagai salah satu daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio, THR Gegar kini terus mengukuhkan pengaruhnya dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial serta identiti tersendiri menerusi slogan 'Permata Pantai Timur.'

THR GEGAR Permata Pantai Timur